PENGKALAN CHEPA, 29 Mac – UMNO negeri ini melihat tangapan pihak
tertentu kononnya parti itu menolak Islam seperti yang diwar-warkan oleh
sesetengah pihak sebagai tindakan terdesak oleh mereka yang ingin
mempertahankan kedudukan politik dengan matlamat meraih sokongan rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Dali Hussin berkata UMNO
menggunakan mandat serta kuasa yang diberikan oleh rakyat untuk
mengembangkan syiar Islam di negara ini dan bukannya menjadikan alat
untuk mendapatkan sokongan rakyat.
Menurut beliau dengan kuasa yang ada, kerajaan mengembangkan pelbagai
dasar yang berkaitan Islam berbanding dengan Pas yang menggunakan Islam
untuk mendapatkan kuasa.
“Di Kelantan kuasa yang ada pada mereka itu tidak digunakan dengan
sepatutnya termasuklah dalam soal mengembangkan Islam. Contoh yang jelas
sebelum ini pelbagai tohmahan dilemparkan kepada UMNO seperti tolak
Islam, tolak hukum hudud dan sebagainya.
“Tetapi apabila rakyat memilih mereka pada 1990, mereka menjanjikan
akan laksanakan hudud di Kelantan, pada peringkat awal ada kekangan yang
berlaku tetapi akhirnya apabila perkara ini dibawa ke sidang DUN telah
dipersetujui oleh semua wakil rakyat termasuk BN, tetapi hingga ke hari
ini masih tidak dilaksanakan.
“Kenapa..? sedangkan perkara ini telah diluluskan dan kita nampak
sebenarnya Pas tidak jujur untuk menegakkan agama Islam, undang-undang
Islam. Kecelaruan dalam perkara ini cukup ketara. Baru-baru ini pula
baru timbul jawatankuasa teknikal untuk lihat kesesuaian pelaksanaan..
apakah maknanya semua ini…bukankah ianya satu sandiwara,” katanya dalam
temubual ekslusif bersama UMNO-Online, di sini, hari ini.,
Dali yang juga Ketua UMNO Pengkalan Chepa seterusnya mengimbau
bagaimana Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada satu ketika
pernah mengatakan hukum hudud ini hanyalah 0.0001 peratus sahaja dalam
pelaksanaan undang-undang Islam.
“Apa pula pendirian MB Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dalam soal
ini…Bukankah ada kecelaruan.. Apabila mereka sendiri berbeza dan ada
kecelaruan dalam perkara ini, mereka seolah-olah mahu meletakkan
kesalahan itu kepada UMNO dengan mengatakan kita pula tolak Islam.
“Pas sendiri tidak jujur dalam soal ini… Ditambah pula apa yang
berlaku hari ini calon Perdana Menteri mereka yang menjadi idola, Datuk
Seri Anwar Ibrahim awal-awal lagi menyatakan jika mereka menang dalam
pilihan raya mereka tidak akan melaksanakan undang-undang Islam…bukankah
ini jelas kepada kita,” katanya.
Tegas beliau lagi pembangkang memainkan sentimen politik kebencian
yang mendalam untuk menafikan bahawa pengembangan syiar Islam di negara
kita adalah asasnya keluhuran perjuangan pemimpin UMNO.
“Merekalah (pemimpin UMNO) yang sebenarnya banyak berjasa dan
memberikan sumbangan yang mengembangkan serta mengatur urus melaksanakan
dasar untuk memastikan Islam tertegak di negara kita. Bukannya atas
dasar retorik politik semata-mata,” katanya.
-MediaUMNO